Wednesday, January 16, 2008

That's Life

Dalam hidup, kadang-kadang kita berhadapan dengan bermacam pilihan. Sehinggakan kita keliru untuk membuat pilihan. Dan seringkali kita merasakan pilihan yang dibuat/ akan dibuat bukanlah yang terbaik. Sehinggakan kadang-kadang kita melepaskan semua pilihan yang ada sebab takut jika pilihan itu bukan yang terbaik untuk kita. Lalu kita kekal di tahap dan di mana kita berada sekarang.

Tapi selalunya kita terperangkap dalam situasi di mana kita tidak mampu dan tidak boleh membuat pilihan. Rela atau terpaksa, itulah jalan yang perlu diambil. Jalan yang perlu ditempuh. Melainkan kita betul-betul nekad dan berani untuk mewujudkan pilihan yang lain. Membuka dan mencuba jalan alternatif. Yang mana bermaksud berani mengambil risiko.

Aku masih ingat, selepas mendapat keputusan UPSR, aku mendapat tawaran untuk memasuki SMAP Kajang. Hatiku gembira bukan kepalang. Aku menerima dengan senang hati. Setelah beberapa lama berada di asrama, aku rasa terkongkong dengan peraturan yang ada. Segalanya perlu mengikut masa yang ditetapkan. Terasa seperti tiada kebebasan. Ikhlasnya, aku sememangnya tidak mahu lagi tinggal di asrama. Tapi, aku tidak pernah berani menyatakan hasratku kepada emak dan ayah. Aku tidak berani untuk menghadapi respon mereka. Aku juga tidak berani mengambil risiko untuk meninggalkan sekolah berasrama penuh yang sememangnya aku idamkan sebelum ini. Yang pasti, aku tidak kuat untuk memilih jalan yang aku inginkan. Lalu, aku meneruskan pengajianku di situ sehinggalah aku tamat SPM.

Kini sekali lagi aku dalam dilema. Antara keinginan dan komitmen yang perlu ditunaikan.

Aku sebenarnya terasa seperti tidak mampu lagi untuk meneruskan kerjayaku. Setiap hari aku datang ke pejabat dengan perasaan yang susah untuk aku gambarkan. Mungkin sesuai untuk aku katakan yang aku bekerja dengan rasa terpaksa. Entahlah, aku sendiri pun tidak pasti bagaimana ingin memujuk diriku lagi. Rasanya masalah ini telah membelengguku sekian lama.

Mungkin pilihan yang ada adalah berhenti kerja. Tapi aku tidak rasa itu pilihan yang bijak. Rasanya pendapatan suamiku seorang belum mampu untuk menampung seluruh keperluan kami sekeluarga. Apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata tidak lama lagi. Jadi, mahu tidak mahu, aku perlu kuatkan diri untuk terus bekerja.

Atau pilihan lain, aku berhenti kerja (pejabat), tetapi membuat kerja lain dari rumah. Perkara ini sudah lama aku idamkan - menjalankan perniagaan sendiri. Antara perkara yang terlintas di fikiran aku yang boleh aku buat adalah menjahit, membuat kek dan menggubah bunga. Menjahit? Aku tidak rasa aku mampu menjahit bagi tempoh yang lama. Pasti aku akan cepat bosan. Jadi aku rasa menjahit tidak begitu sesuai bagiku. Menggubah bunga? Aku memang minat menggubah bunga walaupun aku tidaklah begitu pandai. Tapi aku yakin aku boleh belajar menggubah. Cuma, aku tidak rasa menggubah bunga ada pasaran yang luas. Mungkin ia bukan idea yang terbaik. Membuat kek? Aku sememangnya minat memasak, tetapi lebih kepada lauk pauk. Sedangkan kek dan kuih, jarang sekali aku membuatnya. Tapi, aku rasa berminat untuk belajar lebih mendalam untuk membuat kek dan roti. Lagipun, aku rasa tidak rugi untuk mempelajarinya. Dan aku juga rasa perniagaan makanan adalah paling sesuai kerana sekurang-kurangnya aku menyediakan pilihan makanan halal bagi umat Islam. Setakat ini, aku rasa lebih cenderung ke arah membuat kek dan roti.

Aku sudah pun mencari-cari tempat yang sesuai untuk aku belajar membuat kek. Dan aku sudahpun mengenalpasti satu tempat yang aku rasa sesuai. Cuma, masanya belum sesuai. Mungkin aku akan mulakan selepas bersalin nanti. Harap-harapnya aku kuat semangat untuk meneruskan cita-citaku nanti. Dan aku juga harap aku akan betul-betul nekad untuk mulakan perniagaan.

Buat masa ini, aku kena teruskan kerjayaku di sini. Sanggup atau tidak, aku perlu meneruskannya. Bukan senang untuk mengambil keputusan berhenti kerja. Segala-galanya perlu diubah untuk menyesuaikan diri dengan kemampuan. Yang pasti, aku selalu mengingatkan diri aku yang bekerja itu satu ibadah. Sekurang-kurangnya aku membantu suamiku dan dapat menyumbangkan sedikit untuk orang yang memerlukan.

Ya Allah, berilah aku kekuatan dan tunjuk & bukakanlah jalan yang terbaik buatku dan keluargaku....


'A special present for me for my patience.... :)'

2 comments:

mas said...

hmm rasenye masalah nih dr awal keje lagi ye tak? hihi..ingat lagi mase duk d permaisuri dulu...balik je awak dr opis trus tercelepok atas sofa atau katil..hihi..maybe awak kena buat something yg awak suka la asirah...(cdgn je)hehehhe

About Me said...

Tu lanye k meh.Kekuatan & keberanian tu belum ada. Tambah time sekarang ni, tiap2 hari rasa tak nak pegi keja (actually since dulu pun camtu:) ). Tu lah, memang tengah plan something & yg penting kena kuat semangat at least sampai abis bonded..

 
Copyright 2010 My Precious Moments. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase