Wednesday, August 5, 2009

Azam Buku Baru

Cepatnya masa berlalu. Hari ini sudah tiba 15 Sya'ban. Bermulanya buku baru. Dengan harapan semuanya akan menjadi serba baru. Baru yang lebih baik.

- Kehidupan baru
- Sikap baru
- Semangat baru
- Asirah baru

Aku sebenarnya sedih sangat mengenangkan kehidupan aku yang telah berlalu. Terlalu banyak kekurangan. Terlalu banyak dosa. Terlalu banyak kelalaian. Terlalu banyak kesilapan. Walaupun sedar, tapi aku teruskan juga dengan segala kekurangan, dosa, kelalaian dan kesilapan itu. Kadang-kadang aku rasa hati aku bagaikan keras dan mati. Hati yang perlu dibaja semula. Perlu dilentur semula. Dengan air mata keinsafan seorang hamba kepadaNya.

Dunia ini memang melalaikan. Penuh dengan tipu daya. Aku jadi sibuk dengan dunia sampai terlupa tanggungjawab utama sebagai hambaNya.

- Aku sibuk bekerja mencari rezeki untuk meneruskan hidup, tapi kadang-kadang kesibukan itu membuatkan aku letih untuk bersyukur dan beribadah kepadanya.

- Aku sibuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, tapi kadang-kadang kepenatan dan keletihan membuatkan aku lalai menunaikan hakNya

- Aku sibuk melengkapkan keluarga bahagiaku dengan pelbagai cara - bergurau senda, berjalan-jalan, bercuti-cuti sehingga kadang-kadang aku lupa melengkapkan amalanku kepadanya

- Aku marah dan geram dengan sikap sesetengah orang di sekeliling aku sehingga kadang-kadang lupa natijahnya aku sendiri mendapat dosa atas perasaan aku itu

Ya Allah, jauhnya aku daripada menjadi hambaMu yang benar-benar HAMBA kepadaMu. Bantulah aku untuk berubah Ya Allah. Peliharalah aku dan keluargaku dari segala PENYAKIT - penyakit hati yang paling utama.

Perkara-perkara asas yang wajib bagi seorang muslim yang belum aku mampu realisasikan dalam kehidupan aku dan aku berharap aku akan dapat melakukannya dan beristiqamah dengannya:

- Solat pada waktunya serta ikhlas & khusyu' melaksanakannya
- Menjadi isteri solehah - sentiasa taat, senyum, menyenangkan hati suami
- Tidak mengumpat atau menceritakan perkara yang tidak baik tentang orang lain (termasuklah bosku)

Itu perkara-perkara asas. Kalau aku senaraikan perkara-perkara lain yang perlu aku perbaiki, rasanya berjela-jela panjangnya.

Apapun, aku akan cuba melaksanakannya. Ya Allah, berilah aku kekuatan....
-

0 comments:

 
Copyright 2010 My Precious Moments. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase