Wednesday, April 22, 2009

Permata Hati

Bagaikan tidak percaya apabila permata hati kami mencecah usia setahun pada 9 Mac 2009 yang lalu. Terlalu cepat masa berlalu. Seakan tidak sedar Isyraf membesar di hadapan mata.

Sememangnya melahirkan dan membesarkan anak benar-benar menginsafkan saya. Kini baru dapat saya fahami apa yang telah dilalui oleh mak dan ayah untuk membesarkan saya. Sekarang baru saya faham perasaan kasih sayang seorang ibu untuk anaknya. Kasih sayang yang tulus tanpa mengharap apa-apa balasan. Teringat saya semasa kami sekeluarga pulang ke kampung baru-baru ini. Mak begitu bersemangat untuk memasak makanan istimewa untuk makan tengah hari kami.
"Hari ni makan kat rumah tau",pesan mak.
"Mak nak masak apa ni? Biar Ah tolong", aku yang membahasakan diri 'Ah' menawarkan diri.
"Mak nak masak gulai ikan dan ayam masak merah. Tak pa, sikit je ni. Ah pi lah jaga Isyraf tu",mak menolak tawaran saya.
Mak memang selalu begitu, langsung tidak mahu menyusahkan anak-anak. Ketika dia sihat, semua perkara hendak diuruskan sendiri. Kasih mak untuk anak-anak tidak berubah. Dari kami kecil hinggalah sekarang.

Saya amat berharap dapat menjadi seorang ibu yang terbaik untuk Isyraf dan adik-adik Isyraf (jika diberikan rezeki oleh Allah). Menjadi ibu yang sentiasa menjadi kebanggaan mereka. Saya terlalu sayangkan Isyraf. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata betapa sayangnya saya pada Isyraf. Saya harap kasih sayang saya padanya dapat saya gambarkan dan luahkan setiap detik dan ketika. Saya harap saya sentiasa kuat melawan rasa penat dan letih untuk saya sentiasa menemaninya bermain dan bermesra. Saya harap saya dapat mengawal emosi saya apabila dia membuat sesuatu yang saya tidak suka hanya kerana dia mahukan perhatian saya. Saya harap saya takkan lupa memeluk dan menciumnya setiap hari walaupun dia sudah besar nanti. Saya harap saya takkan pernah tidak sempat berdoa untuk kebaikannya di dunia dan di akhirat. Saya harap saya dapat berkongsi segala ilmu yang saya ada dengannya agar Isyraf menjadi anak yang soleh.

Isyraf, mama sentiasa dan selamanya menyayangi Isyraf.

0 comments:

 
Copyright 2010 My Precious Moments. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase